Wednesday, August 19, 2009

BATIK TERENGGANU...


Batik merujuk kepada hiasan kain dengan menggunakan pelbagai warna dan corak. Teknik Batik telah diketahui lebih seribu tahun, kemungkinannya berasal dari Mesir kuno atau Sumeria. Ia terdapat di beberapa negara di Afrika Barat seperti Nigeria, Cameroon dan Mali, atau di Asia, seperti India, Sri Lanka, Bangladesh , Iran, Thailand, Indonesia, dan Malaysia.
Kata Batik berasal dari kata Jawa "amba" yang bermakna menulis dan kata Melayu "titik". Batik merujuk kepada kain yang mempunyai corak yang terang dan menarik. Batik terdapat dalam pelbagai bentuk, antaranya adalah batik tulis, batik skrin, batik celup, dan batik terap.
Batik adalah kemahiran yang memiliki nilai seni tinggi dan telah menjadi sebahagian dari budaya dunia terutama di alam Melayu dan khususnya Jawa, sejak lama yang merangkumi negara ASEAN, tetapi turut juga terdapat di negara-negara lain pada masa kini. Terengganu merupakan salah sebuah negeri yang mengeluarkan produk batik yang berkualiti.Terdapat pelabagi corak dan masih mengekalkan cara tradisional.Coraknya yang cantik dan berkualiti dapat menambat hati semua yang melihatnya.
Pada masa kini terdapat corak-corak baru yang dikenali sebagai batik moden bagi memenuhi cita rasa pengguna yang sentiasa berubah-ubah, tetapi batik tradisi turut dihasilkan disamping itu.Setiap hari Khamis, semua kakitangan awam lelaki di Malaysia hendaklah memakai baju batik Malaysia mulai 17 Januari 2008. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam telah menghantar pekeliling tersebut kepada semua jabatan kerajaan.
Sebelum ini peraturan memakai baju batik hanya pada hari Sabtu sahaja. Kemudian diubah kepada 1 haribulan dan 15 haribulan. Tetapi orang ramai mudah lupa.

PULAU REDANG...


Pulau Redang yang terletak di perairan Laut China Selatan merupakan salah satu daripada sembilan buah pulau yang membentuk taman laut Kepulauan Redang, di negeri Terengganu, Malaysia, serta tapak pemuliharaan penyu yang penting. Perairan di sekeliling Pulau Redang juga mengandungi dua buah bangkai kapal yang bersejarah, iaitu H.M.S Putera Wales dan H.M.S Repulse yang telah ditenggelamkan di sini pada permulaan Perang Dunia II dan mewujudkan suasana bagi pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Pulau-pulau lain yang berhampiran termasuk Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian Besar, Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Bidong.
Pulau Redang adalah salah satu pulau yang terbesar dan yang tercantik di pantai timur Malaysia. Pulau ini kini merupakan sebuah pulau peranginan yang amat popular di kalangan orang Malaysia, dengan kebanyakan mereka yang datang melalui pakej pelancongan. Salah satu pantai yang paling cantik di pulau ini ialah Pasir Panjang. Pasirnya putih dan airnya jernih, dengan batu karang dan ikan terdapat hanya beberapa meter dari tepi pantai. Antara kemudahan di pulau ini ialah kegiatan snorkel dan junam.
Pulau Redang boleh dikunjungi melalui Merang atau Kuala Trengganu dengan bot-bot yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat peranginan di sini. Jaraknya dari jeti Kampung Penarik ialah 30 kilometer nautika. Terdapat juga sebuah lapangan terbang kecil di pulau ini.

SONGKET TERENGGANU...




Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit benang emas atau perak. Perkataan songket bermaksud membawa keluar atau menarik benang daripada kain atau menenun menggunakan benang emas dan perak. Songket Terengganu adalah songket tenunan yang paling berharga dan popular di Malaysia.Harganya ada yang mencecah sehingga ribuan ringgit.
Dari segi sejarah, ia hanya dipakai golongan bangsawan - keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 yang lampau.
Corak dan motifnya memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu dan sekali gus mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran yang kaya dengan keindahan dan keunikan. Antara corak yang digunakan:
-Susunan bunga penuh
-Susunan bunga bertabur
-Susunan bercorak
Motif yang digunakan pula adalah seperti:
-Motif Tumbuh-tumbuhan
-Motif Binatang
-Motif Alam/Benda
-Motif Kuih
Hari ini, pemakainya lebih menyeluruh, tidak terhad kepada kerabat diraja, motif dan warna tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Cara pemakaiannya juga lebih meluas, bersesuaian dengan majlis begitu juga corak dan motifnya yang semakin kontemporari, sesuai dengan perubahan dan peredaran masa. Suasana yang melatari songket kini turut berubah selaras dengan peredaran masa.
Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan industri songket masih berterusan dan secara relatifnya berjaya mencapai tahap yang memuaskan sehingga songket semakin popular digunakan sebagai busana majlis perkahwinan, hantaran perkahwinan, cenderahati dan hiasan dinding.

PULAU PERHENTIAN...


Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18, dipercayai oleh Batin Mina dan keluarganya. Ia terletak sekitar 10 batu nautikal (19 km) dari pantai dalam negeri Terengganu, sekitar 40 batu (64 km) selatan dari sempadan Thailand.
Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ia dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu.
Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ia telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.
Keindahan curam Pulau Perhentian menjadikan ia sebuah destinasi pelancongan. Renang dan snorkeling adalah menjadi aktiviti pelancong paling popular di sini. Pantai-pantai yang putih di sini dengan air laut yang cetek dengan sinaran matahari yang mampu menembusi ke dasar laut menjadikan hidupan laut di sini hidup dengan sihat. Untuk aktiviti menyelam anda boleh pergi ke barat laut Perhentian Kecil di mana anda akan menjumpai pulau-pulau kecil berbatu batan. Ini merupakan tempat terbaik untuk selami Pulau Perhentian. Selain itu, anda juga boleh menikmati aktiviti-aktiviti seperti berkhemah, berkanu, memancing, merentasi hutan, dan menunggang bot pisang. Pelancong boleh menginap di hotel atau chalet yang telah disediakan di sini.Pelancong tidak akan menyesal jika datang bercuti di sini.

Sunday, August 16, 2009

NASI DAGANG


Nasi Dagang merupakan hidangan istimewa yang terkenal di Terengganu dan Kelantan. Nasi dagang Terengganu biasanya diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut dan dimasak bersama-sama santan kelapa. Nasi dagang Kelantan biasanya bewarna merah kerana menggunakan campuran pulut hitam.
Nasi dagang Terengganu dihidangkan dengan kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan aya hitam (ikan tongkol). Selain itu acar timun juga disediakan.
Nasi dagang dikatakan dikenali sedemikian kerana, hanya mempunyai satu lauk (tanpa acar timunnya). Mudah, bagaikan mereka yang dalam perdagangan tanpa penyediaan lauk-pauk yang banyak.

TASIK KENYIR...


Tasik Kenyir yang terletak di hulu Sungai Kenyir, Terengganu merupakan tasik terbesar yang pernah dibina oleh manusia untuk menjana kuasa elektrik di Asia Tenggara. Tasik ini seluas 2,600 km persegi dan mengandungi 340 pulau kecil.
Semenjak kewujudan empangan di sini, kawasan sekitarnya terutama Kuala Berang telah mula dikenali oleh orang ramai baik dari dalam mahupun luar negeri. Tasik ini merupakan tempat pelancongan popular di Terengganu semenjak kewujudannya. Ia siap dibina pada 1988.
Tasik Kenyir telah menenggelamkan beberapa buah kampung dan juga hutan. Banyak haiwan liar telah diselamatkan semasa pembinaan empangan ini. Pembinaan empangan ini telah mewujudkan pulangan ekonomi kepada penduduknya yang majoritinya adalah petani. Secara tidak langsung, penduduk di sini dapat menaikkan taraf sosial masing-masing. Kedatangan pelancong ke sini yang terkenal dengan jagung manisnya telah menaikkan nama bandar Kuala Berang di mata pihak luar yang sebelum ini dikenali sebagai 'bandar mati'.

Saturday, August 15, 2009

PASAR KEDAI PAYANG...

Pasar Pusat yang dikenali sebagai Pasar Payang terletak di tepi Sungai Terengganu dan merupakan salah sebuah destinasi pelancong yang paling terkenal di Kuala Terengganu. Pasar yang terletak di dalam sebuah bangunan moden ini menawarkan pelbagai jenis hasil kraftangan tradisional seperti batik, kain sutera, songket, kain brocade and barangan logam serta sayur-sayuran yang segar.Pelawat yang berkunjung ke pasar ini tentu seronok membeli barangan tempatan di sini pada harga yang murah. Pasar ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk memerhati dan memahami budaya di sini sambil memerhati penduduk tempatan sibuk membeli-belah di sini. Sewaktu di sini cubalah menjamu selera dengan hidangan tempatan istimewa seperti Keropok Lekor iaitu keropok rangup yang dibuat dari campuran ikan dan tepung sagu, ia lazimnya di makan bersama sos cili.Pasar Payang terletak di tengah Bandar Kuala Terengganu dan mudah untuk ke sini walau di mana anda menginap.Nikmatilah beli-belah dengan tawaran harga yang istimmewa.

PULAU KAPAS...


Pulau Kapas ialah pulau yang berada 6 kilometer dari pinggir pantai Terengganu,Malaysia.”Kapas” dalam bahasa melayu bermaksud pohon kapas.Pulau Kapas adalah salah satu pulau tercantik di Terengganu. Dengan keindahan pantai yang bersih dan putih , air yang jernih sehingga dapat melihat ke dasar laut.Disini juga dikenali sebagai syurga “snorkeling” dan semua peralatan untuk aktiviti ini telah disediakan di sini. Melalui aktiviti ini juga kita dapat melihat hidupan laut dengan lebih dekat lagi contohnya batu karang, pelbagai spesis ikan dan banyak lagi.Kita boleh datang ke Pulau Kapas dengan menaiki feri dari jeti Marang.Keindahan pulau ini akan memikat semua pengunjung yang datang ke sini.

KEROPOK LEKOR TERENGGANU...


Keropok lekor atau kerepok batang merupakan sejenis makanan tradisional pantai timur, khususnya di Terengganu yang terkenal. Keropok diperbuat daripada isi ikan laut dan campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan tepong kanji. Keseluruhan ramuan tersebut akan diuli dan digentel panjang bertali, sebelum direbus didalam air panas.Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan berprotin tinggi yang kaya dengan iodin semulajadi.Keropok lekor boleh dimakan segar sabaik sahaja diangkat dengan dicicah air lada (sos cili) yang pedas. Pada masa ini, pembuatan keropok lekor telah pun tersohor kebeberapa negeri lain.Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Bagaimanapun, sekiranya hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan ditempat air batu bagi mengelakkan baunya mencemar makanan lain. Apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampurkan sedikit garam, sekiranya tidak keropok berasa tawar.Selain daripada dimakan segar, keropok lekor juga boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi bagi menghasilkan keropok yang lebih rangup. Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji biasanya lebih rangup apabila digoreng, tetapi akan bertukar menjadi liat apabila sudah sejuk. Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat walaupun ia sudah sejuk selepas digoreng.Keropok lekor juga boleh diproses dengan lebih lanjut untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor yang telah direbus akan dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan keropok kering yang dikenali sebagai keropok keping. Keropok keping ini akan menjadi kembang apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia amat sedap apabila dimakan dengan sos cili.

Monday, August 10, 2009

TAMAN TAMADUN ISLAM...

Taman Tamadun Islam (TTI) adalah sebuah taman tema yang mengetengahkan keunggulan seni warisan dan seni bina Islam dari seluruh pelosok dunia yang terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu yang sebelum ini dianggap tidak berpenghuni dan dipenuhi hutan nipah. Taman tema ini merupakan salah satu projek pembangunan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
Taman tema yang mula dibina pada Mac 2005 bukan sahaja dikelilingi replika-replika masjid dari serata dunia malah sebuah masjid yang juga mercu tanda baru Kuala Terengganu iaitu Masjid Kristal turut berdiri megah di situ.Projek pembinaan TTI melibatkan 34 kontraktor tempatan sementara Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bertanggungjawab memantau projek tersebut. Bahan asas pembinaan TTI secara keseluruhannya menggunakan bahan buatan tempatan. Kira-kira 65% pembinaan menggunakan kepakaran tukang tempatan manakala selebihnya menggunakan khidmat profesional pakar pertukangan daripada luar negara.