Wednesday, August 19, 2009

PULAU PERHENTIAN...


Pulau Perhentian mula didiami pada penghujung abad ke 18, dipercayai oleh Batin Mina dan keluarganya. Ia terletak sekitar 10 batu nautikal (19 km) dari pantai dalam negeri Terengganu, sekitar 40 batu (64 km) selatan dari sempadan Thailand.
Pulau ini pada awalnya tidak mempunyai nama yang khusus. Ia dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal dagang yang berulang alik dari China ke Asia Tenggara seperti Singapura, Jawa dan beberapa tempat di Semenanjung Tanah Melayu. Di pulau ini juga dijadikan tempat persinggahan kapal-kapal garam dari Singgora (Selatan Thai), untuk menghantar garam ke Kuala Terengganu.
Oleh kerana pulau ini sering dijadikan tempat persinggahan bagi kapal-kapal yang dalam pelayaran, ia telah dinamakan sebagai Pulau Perhentian. Iaitu pulau tempat kapal-kapal singgah atau berhenti seketika sebelum meneruskan pelayaran. Sehingga sekarang pulau ini masih lagi dijadikan tempat berlindung bagi kapal-kapal dari angin kencang dan ombak besar.
Keindahan curam Pulau Perhentian menjadikan ia sebuah destinasi pelancongan. Renang dan snorkeling adalah menjadi aktiviti pelancong paling popular di sini. Pantai-pantai yang putih di sini dengan air laut yang cetek dengan sinaran matahari yang mampu menembusi ke dasar laut menjadikan hidupan laut di sini hidup dengan sihat. Untuk aktiviti menyelam anda boleh pergi ke barat laut Perhentian Kecil di mana anda akan menjumpai pulau-pulau kecil berbatu batan. Ini merupakan tempat terbaik untuk selami Pulau Perhentian. Selain itu, anda juga boleh menikmati aktiviti-aktiviti seperti berkhemah, berkanu, memancing, merentasi hutan, dan menunggang bot pisang. Pelancong boleh menginap di hotel atau chalet yang telah disediakan di sini.Pelancong tidak akan menyesal jika datang bercuti di sini.

No comments:

Post a Comment